Bila cinta kini
Tak lagi bermakna
Yang ku rasa kini
Hanyalah nestapa
Ditinggalkan cinta masa lalu
Hilangnya cintamu
Menusuk hatiku
Hinggaku memilih
Cinta yang fana
Perginya dirimu
merobek jantungku
Hingga ku terjatuh
Dalam harapan
Biasa dengan senikata di atas? Ya, beberapa potong lagu Bila Cinta nyanyian Gio untuk OST Lagenda Budak Setan. Kenapa tiba-tiba aku terpanggil untuk masukkan lirik lagu ini? Hmmm... Bagi mereka yang lain, mungkin sedikit klise meletakkan lirik atau senikata lagu semata untuk memastikan blog sentiasa dikemaskini. Tapi bagi aku, lagu ini punya maksud tersendiri. Lagu ini ku dedikasikan khas buat aku yang dulu.
Tak salah rasanya jika aku katakan bahawa aku sememangnya mencintai diriku. Terlalu obses pada diri? Bukan itu maksudku. Pentingkan diri itu buka cara aku. Terlalu berjaga-jaga, mungkin itu. Kerana terlalu sayangkan diri, aku meletakkan had bagi setiap hal. Had ini secara tidak langsung telah menjauhkan aku dari dunia nyata. Had yang aku cipta ini buat aku menjadi seorang paranoid. Sedang jauh di sudut hati, aku terlalu ingin menjadi seperti mereka yang lain. Tidak perlu rasa was-was menjejak kaki di dunia nyata. Masa yang berlalu mematangkan fikiran. Aku semakin sedar dengan apa yang telah aku lakukan ini hanya menyusahkan diri. Rasa cinta itu bukanlah cinta yang benar. Cinta itu tidak wajar dan tidak bermakna.
Memang sedih bila memikirkan bahawa aku terpaksa melepaskan diri aku dari belenggu yang aku ciptakan sendiri. Walau setinggi mana kasih dan cinta aku pada diri sendiri, aku perlu lepaskan. Aku patut beri peluang dan biarkan diri mencari tahu, belajar jatuh bangun dan susah senang hidup.
Aku yang lalu kini hanya menjadi sejarah. Aku tak boleh biarkan hidup aku terbeban dengan harapan di masa lalu. Harapan yang tidak lagi relevan dengan hidupku yang baru. Walau perlahan aku melangkah, aku akan cuba pastikan bahawa setiap langkahku penuh bererti. Tak akan kubiar langkah berhenti dan mengudur ke belakang.
Pada aku, cinta itu luas. Tidak hanya kepada Pencipta mahupun individu lain. Tidak salah mencintai diri sendiri asal cinta itu kena pada tempatnya. Aku akui kesilapanku. Dan bila cinta, kita terkadang jadi lupa.
Semoga hidup yang kujalani di masa hadapan memberikan harapan yang benar dan jitu dan semoga hari-hari yang berlalu mematangkan fikiranku. Gio - Bila Cinta.mp3