My photo
Sedang mencari tahu tentang kehidupan. Melalui hari-hari demi menimba pengalaman. Biar menjadi teladan dan pedoman...

Monday, June 25, 2012

Cinta Dalam Hati



Seakan tajuk lagu. Bezanya ini kisah. Kisah cinta yang layaknya hanya dalam hati. Memiliki tubuh bersaiz normal tetapi punya hati bersaiz sangat kecil. Terlalu kecil untuk dikongsi.

Adalah mustahil bagi setiap insan untuk tiada perasaan ingin mencintai dan mencintai. Walau sebesar zarah, rasa itu tetap ada. Cuba untuk menidakkan bukanlah langkah bijak. Jatuh cinta itu tidak salah. Menjadi salah jika jatuh pada orang yang salah. Cintailah yang HAK

Subjek cinta ini bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak mampu diterangkan apalagi dihuraikan. Terlalu subjektif. Sebagai hambaNya yang kerdil dan lemah, seringkali kita tersilap dalam membezakan antara cinta dan nafsu. Cinta itu satu perasaan suci dan lemah sifatnya kerana mudah terdorong dengan nafsu. Harus bijak menangani nafsu agar cinta tidak tercemar dengan perilaku sumbang yang mencalar kesucian cinta.

Jatuh cinta sekiranya hati sudah bersedia. Sediakan akal yang rasional dan jiwa yang kental kerana memiliki cinta itu bukan sesuatu yang mudah. Itulah yang sering kusimpan dalam kotak mindaku. Kusemat kemas dalam hatiku. Bertahun kucuba pertahan rasa agar cintaku tak terbuang dengan sia-sia. Bersungguh ku jaga rasa. Beria ku tepis kata.

Usia meningkat dewasa. Masih belum mampu memberi cinta. Melihat mereka riang bergurau senda, gelak manja terkadang buat hati rasa mahu mencuba. "Ah, itu nafsu. Cintaku hanya pada yang hak!" hati seakan mendengus. Jejaka pujaan? Lelaki idaman? Persoalan yang takut untuk aku fikirkan. Takutkah aku? Ya. Aku semacam fobia yang namanya cinta. Bukan tiada yang mendekati tapi semuanya ku tolak. Ya, semua ku tolak. Aku punya sebab menolak. Memilih? Ya kerana cintaku hanya buat yang hak.

Hati pernah dihuni dulu. Sayangnya penghuni hati tak menetap lama dan berpindah ke hati yang lain. Terlalu lama dibiar kosong. Usai. Mungkin kerana sudah terbiasa tak berpenghuni, hati dibiar berkunci.

Masih ada yang mengetuk pintu hati berkali-kali. Sayangnya bukan untuk menghuni. Pintu hati masih rapat berkunci. Maka, tinggallah cinta sendiri. Sendiri dalam hati.