My photo
Sedang mencari tahu tentang kehidupan. Melalui hari-hari demi menimba pengalaman. Biar menjadi teladan dan pedoman...

Saturday, January 21, 2012

Jangan Salahkan Hati

Jangan salahkan hati
Saat tiba-tiba terdetik sukakan sesuatu
Itu fitrah

Jangan salahkan hati
Andai tiba-tiba membenci
Pasti ada sebab tertentu

Jangan salahkan hati
Bila terasa mahu memiliki
Itu fitrah

Jangan salahkan hati
Kiranya terasa mahu menolak
Kerana itu permainan masa

Jangan salahkan hati
Jika terniat untuk mencinta
Itu fitrah

Jangan salahkan hati
Hanya kerana tak dicinta
Mungkin belum masanya

Hati yang kecil takkan mampu menanggung sejuta salah
Hati yang kecil takkan bisa dikerat bahagi atau dilempar pergi
Cintai hati, Belailah hati
Demi diri sendiri

Wednesday, January 18, 2012

Biarkan Waktu Berlalu...

Tanpa sedar, telah jauh kaki melangkah pergi
Tanpa sedar, segenap lorong telah ku redahi
Tanpa sedar, acapkali telah ku jatuh dan berdiri

Tanpa lengah masa berlalu pergi

Ingatkah pada bintang yang kita hitung bersama
Mendongak ke langit mencari bintang kita
Malam sunyi terasa berbeza
Kerana ada kita berdua

Ingatkah pada bayu yang berhembus lembut
Menyapa halus kulit yang mulus
Sejuk dan begitu menenangkan

Kenangan indah terpahat di hati
Walau ke mana melangkah pergi
Biar bertahun masa terlewati
Kenangan itu takkan pernah mati

Biar api menjadi abu
Biar air bertukar beku
Asal ingatan tersemat di kalbu
Biarkan saja waktu berlalu...

Thursday, January 5, 2012

Apa Itu Cinta???

Aku sebetulnya tak tahu apa itu cinta. Jujur. Aku tercari-cari maksud cinta. Jadi, kenapa aku buat blog cinta? Hmmm... hanya kerana mahu kamu t=yang di luar sana mengajarku apa itu cinta.

Aku pernah bercinta? Entah. Tapi aku pernah punya "kekasih" sewaktu belajar di universiti dulu. Mungkin kerana mahu tahu perasaan bila dicinta bila melihat kawan-kawan yang sibuk angau melayan rasa. Malangnya, aku tak dapat rasa itu. Aku cuba usaha, namun kecundang di tengah jalan tanpa sempat aku tahu erti cinta. Bodohkan aku? Ambil masa hampir setahun, tapi apa pun aku tak dapat. Hati masih kosong.

Kini, sekali lagi aku tak keruan bila mama dan ayah sibuk suruh aku kahwin. Sedang aku tak tahu makna, manakan aku bisa bercinta? Mungkin elok kira kubiar takdir dan waktu menentu segala. Moga ada insan yang sudi menerima aku apa adanya.

Tahun baru, azam pun baru. Niat mahu dapatkan calon tahun ini. Mengenangkan tahap IQ rendah aku tentang soal cinta, kita tunggu sajalah pengkhiran cerita.

Maka, misi mencari cinta pun bermula...