My photo
Sedang mencari tahu tentang kehidupan. Melalui hari-hari demi menimba pengalaman. Biar menjadi teladan dan pedoman...

Saturday, July 13, 2013

Persepsi: Solat Istikharah dan Jodoh

Terasa lama tak ku jenguk halaman ini. Hati terasa kosong. Walau ada sisa yang menghuni hati tapirasanya tak terluah. 

Peryataan dari sahabat di laman sosial semalam seakan bermain-main di fikiran. Solat istikharah. Ya, sesuatu yang belum pernah aku cuba. Kuceritakan pada teman sepejabat. Mereka cuma memandang dengan senyuman. Persepsi tentang solat istikharah seakan terlalu skeptikal. Biasanya orang akan kata solat istikharah dibuat ketika hati ini tak tahu memilih. Sedang aku sememangnya tak punya seorang calon pun untuk dipilih. Atau mungkin hati lama dibiar kosong. Makanya, kekosongan itu sudah bukan lagi menjadi isu besar. 

Pagi ini seusai bersahur, aku cuba mencari maklumat mengenai solat istikharah. Mulanya sekadar ingin tahu tujuan dan caranya. Tangan ligat mencari menaip dan mata pantas membaca. Dan akhirnya semua terhenti seketika tatkala terbaca mengenai "Perbezaan Suka, Sayang dan Cinta" hasil tulisan Tengku Fariduddin di HarianIslam.com. Bertahun lamanya aku mencari perngertian sebegini. Benar kata orang, membaca jambatan ilmu. Tak sia-sia minat membaca yang diterap sejak kecil ini. 

Membaca artikel sedemikian buat aku berfikir sejenak. Ya, aku sememangnya pernah sayangkan ramai individu yang pernah singgah di hati. Dan masih tetap menyayangi. Merekalah sahabat. Walau di mana mereka berada, terlalu sukar untuk kulupa kenangan bersama. Jatuh bangunku. Tawa nangisku. Susah senangku. Syukur pernah mengenali insan-insan yang istimewa seperti mereka dalam hidupku. Kini, masing-masing punya kehidupan sendiri dan aku? Masih sendiri. 

Cinta? Aku buta mengenalnya. Walaupun ianya adalah sesuatu yang dahulunya terlalu ingin ku rasa. Yang acapkali disebut-sebut teman diawal usia remajaku. Ada yang mendefinisikan cinta itu indah. Ada yang mengatakan cinta itu derita. Ditambah pula dengan drama-drama cinta yang sering disiarkan di stesen-stesen televisyen. Cinta yang digembar-gemburkan itu terlalu banyak halangan dan rintangan. Cerita-cerita cinta sebegini secara tidak langsung membuat aku paranoid. Aku menolak semua hati yang datang bersama cinta. Aku jadi seksis. Persepsi terhadap kaum Adam terlalu teruk sehinggakan aku lebih utamakan kerjaya berbanding kehidupan sosialku. Bagiku, cinta pasti diiring dengan air mata. Sebelum hati ini kuat untuk menerima cinta, aku fikir elok aku bersedia. Istilah "cuci kaki" selepas berkahwin bukan untukku pada awalnya. 

Mungkin aku menolak cinta tetapi aku tak menolak perkahwinan. Aku tahu dan sedar kepentingan sebuah perkahwinan. Cinta itu satu rasa yang boleh dipupuk. Bercinta selepas berkahwin bukan perkara pelik dalam masyarakat kita. Jadi, bukan satu masalah bagi aku untuk berkahwin tanpa cinta. Tika usia menginjak dewasa, aku semakin faham erti cinta. Masih, aku tak punya kekuatan untuk memberi atau menerima cinta. Pernah kuusulkan pada kedua orang tuaku. Meminta mereka yang mencarikan jodoh buatku kerana aku percaya pilihan orang tua adalah yang terbaik untuk anak. Akan tetapi usulku ditolak mentah-mentah. Mereka katakan bahawa mereka tidak mahu disalahkan sekiranya perkahwinan yang akan dibina bermasalah. Masa terus berlalu dan aku masih begini.

Artikel-artikel berkenaan solat istikharah dan jodoh yang dibaca hari ini telah membuka mata dan sedikit ruang hatiku. Semoga pintu hati yang telah lama tertutup rapat ini tidak karat dan masih boleh dibuka dan diintai dari luar. Atau mungkin akan datang si pemunya kunci yang bisa membuka hati dan terus mendiami hati yang bersawang ini. Hanya kepada Allah aku berserah agar Dia menemukan jodohku yang mampu membimbingku ke syurga-Nya. Amin...