Untuk yang kesekian kalinya aku menulis. Ilham? Oh, haruslah seusai menonton cerita cinta dan kehidupan. Jiwang? Mungkin juga. Ahahahahaha~
Adakala aku terasa begitu aneh dengan diri sendiri. Bukan untuk membuka pekung di dada. Sekadar meluah rasa yang kurasa begitu membebankan jiwa. Menyempit dada. Semakin aku menonton dan membaca cerita-cerita tentang asam garam kehidupan, semakin aku menjadi realistik. Akan tetapi tatkala aku cuba mencari erti cinta, aku jadi keliru. Semakin aku tak faham erti cinta. Barangkali aku telah dikaburi dengan plot-plot cinta yang mengasyikkan dan keterujaan penulis cerita dalam menyampaikan naskah cinta ke layar.
Secara jujur, aku mengaku tidak punya pengalaman tentang cinta. Cinta hanya kupelajari secara teori dari novel-novel, cerita dan hasil karya insan-insan seni. Untuk mengalaminya sendiri, aku tak berani. Terlalu banyak pengorbanan dan semacam terlalu menyiksakan. Mungkin benar kata sahabat. Jangan mudah terpengaruh dengan cerita rekaan kerana itu fantasi sang penulis cuma. Ya, mungkin ada benarnya.
Aku jahil tentang yang namanya cinta. Namun, aku bukan lagi anak kecil yang menerima pendapat tanpa perlu ku kaji kesahihan cerita. Seumur hidup ini telah kuhabiskan masa mencari cinta. Seperti yang sedia maklum, naskah-naskah cinta yang banyak terjual di pasaran menjadi manual dan buku teks cintaku. Dikala usia semakin lanjut, tanpa pernah ada sesiapa yang betul-betul singgah menemani hati... aku akhirnya membuat kesimpulan mudah.
Cinta itu sesuatu yang boleh dipupuk. Ianya tak akan pernah kekal andai tak disemai, dibaja dan dijaga dengan penuh perhatian. tak kiralah sama ada ianya terjadi sebelum atau selepas majlis akad nikah. Dan aku? Aku tak cari cinta. Di mana kira ku jumpa cinta andai cinta itu perlu dicipta? Andai saja ku bisa bertemu insan yang mampu menemaniku hingga ke akhir usia. Insan yang sudi bersama mencipta cinta. Cinta yang hanya kami berdua yang rasa.
Oh, andai saja cinta itu benar-benar wujud~