My photo
Sedang mencari tahu tentang kehidupan. Melalui hari-hari demi menimba pengalaman. Biar menjadi teladan dan pedoman...

Friday, July 27, 2012

Cinta Platonik

Cinta Platonik. Bunyinya seakan biasa didengar tapi apakah ia? Cinta Plastik, kah? Hmmm... Mungkin ada yang tahu maksudnya tapi biar aku kongsikan apa yang aku tahu. Cinta Platonik itu perasaan atau perkaitan rasa kasih dan sayang yang tak melibatkan tarikan seksual juga rasa untuk memiliki dan dimiliki. Ianya hubungan antara lelaki dan perempuan yang kelihatan seakan bercinta namun bebas memilih untuk bersama yang lain. Mengikut pemahaman aku, ianya seakan hubungan akrab teman baik yang berlainan jantina.

Oh, semestinya aku punya banyak pengalaman dengan cinta sebegini. Kenapa? Sebab aku terlalu takut menyerahkan seluruh rasa cinta dan kasih kepada sesiapa. Aku takut mengecewakan dan dikecewakan. Tapi siapa kata Cinta Platonik ini tidak mengecewakan dan dikecewakan? Hubungan baik antara lelaki dan perempuan walau bagaimanapun pasti membuahkan rasa kasih dan sayang.yang mana boleh memutik rasa cinta. Siapalah aku untuk membicarakan soal hati secara general sedang setiap dari kita merasainya dengan berbeza-beza. 

Pengalaman gagal dalam bercinta yang buat aku terjebak dengan Cinta Platonik. Melihat dia yang rapat dengan kita, yang sering mengusik dan menghabiskan hampir seluruh harinya bersama kita menemui gadis pilihan hati, PEDIH rasanya. Tak mampu diluah dengan kata-kata. Namun, perasaan itu pulih lebih cepat berbanding cinta biasa. Cinta yang diagung-agungkan setiap pasangan bercinta. Mungkin kerana itu aku memilih Cinta Platonik. Punya dia yang selalu mengambil berat, bertanya khabar dan mengisi ruang kosong hati tanpa perlu terlalu memikirkan sakit kehilangan. Walau sementara, aku rasa senang. 

Mereka kata aku punya rupa. Ada yang kata suka dengan perwatakan bersahaja yang adakalanya mengundang kucar-kacir. Sayangnya, aku bukanlah pilihan untuk mereka jadikan teman sepanjang hayat. Loser. Ya, itulah yang aku rasa. Walau apapun yang aku rasa, kisah ini bukan untuk menagih simpati. Bukan juga terdesak mencari cinta. Sekadar meluah untuk berkongsi rasa (walaupun blog sepi ini tak punya pengunjung). Ya, sekadar meluah.

Andai suatu masa nanti mereka tahu betapa aku pedih dengan Cinta Platonik ini, sesungguhnya aku tak pernah salahkan sesiapa untuk apa yang aku rasa kerana inilah pilihanku. Disetiap duka ada suka yang kurasa mampu buat aku senyum dan melangkah lagi. Untuk menyatakan rasa sebenar, aku tak mampu. Takut kehilangan peneman yang sudi mengisi ruang kosong di setiap hariku. 

Semoga kita semua punya pengakhiran cerita yang membahagiakan. Salam Cinta...

♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥


No comments: